KERASUKAN

Saya teringat satu peristiwa setahun yang lalu, semasa saya menyertai khemah tahunan Palapes Unimas ke Lundu, Sarawak. Ia adalah pengalaman pertama berdepan dengan orang kerasukan, kerana saya tidak melihat atau bertemu dengan orang yang hysteria atau dirasuk, dan tidak juga memiliki kekuatan untuk menghadapi kemungkinan itu.

Saya bertugas sebagai salah seorang pegawai muda kepada peringkat intermediate palapes unimas, saya bertanggungjawab dengan kebajikan, keperluan dan disiplin kadet-kadet tersebut. Sebelum masuk peringkat pertahanan, kami berlabuh di tebing sebuah sungai yang indah, airnya sejuk di bawah kawasan riparian (sungai yang diteduhi oleh rimbunan pokok-pokok.). Kami mengadakan bakbeku ringkas pada malam tersebut, selepas mendengar ketua platun (kadet) membacakan perintah pertahanan.

Setelah beberapa hari latihan mara, kadet-kadet keletihan dan agak mengantuk. Beberapa orang mulai sakit dan demam. Yang kurang sihat akan dibantu dan dipantau. Ada seorang kadet perempuan, saya lihat mukanya pucat malam tersebut. Dia nampak ceria, tetapi agak pucat dan mulutnya kebiruan. Kami (pegawai) sentiasa bertanyakan keadaannya, dan dia akan menjawab dia tidak apa-apa, Cuma kesejukan. Semasa penyampaian perintah, kadet ini berpeluk tubuh di tepi unggun api barbeku.

Malam tersebut meriah dan ceria. Kadet perempuan ini kami panggil shark. Shark nampak ceria malam tersebut dan banyak bersembang. Saya mempelawanya daging barbeku, tetapi dia menolak, katanya dia tidak makan daging. Apabila malam makin larut, hujan turun gerimis-gerimis, malam itu terasa semakin sejuk. Shark duduk berhadapan unggun api ditemani rakannya, dia nampak semakin lemah. Shark mengadu kesejukan, dan kami letak kakinya (berkasut but) lebih hamper dengan api.

Saya menghubungi markas untuk meminta kenderaan memindahkan shark ke rumah sakit. Untuk mengurangkan kesejukan, saya memicit-micit badan shark. Keras betul tubuhnya. Tiba-tiba kawan saya menegur kaki shark sudah masuk dalam bara. Kami kaget dan segera mengalihkannya. Masakan budak ini tak terasa bahang? Shark mengadu kesejukan pula dan tubuhnya semakin lemah. Kami mendengar dalam lemah shark mengucap kalimah syahadah berulang kali. Anak matanya tenggelam dalam kelopak mata, shark separuh sedar.

Saya masih tidak mengesyaki apa-apa waktu itu kerana tiada naluri yang pelik-pelik. Tiba-tiba budak itu minta nasi. Bila dihulurkan sepinggan nasi, shark makan dengan lahap. Dia tidak menggunakan sudu yg diberi. Saya waktu itu terlupa shark tidak makan daging, lalu menghulurkannya daging barbeku. Itu pun dia makan. Bila hulur air dia enggan minum.

Tuan razali menyuruh kami mengemaskan barang-barang shark segera dan menghalau kadet-kadet lain balik ke khemah. Saya ajak Kak Tikah, kawan saya untuk memapah shark. Kak tikah menolak. Katanya dia tidak cukup kuat, dia takut. saya pun menjawablah takkan nak bagi orang lelaki yang angkat? Kak tikah membalas, melor tau tak kenapa tuan razali suruh hantar shark cepat-cepat? Kak tikah takut tengok mata dia, Melor tengoklah mata dia.

Sudah terlambat saat saya melopong. Mau tak mau saya, kak tikah dan beberapa orang kadet mengangkatnya ke trak 3-tan. Shark merengus, mendengus dan merota-ronta. Kami berdoa banyak-banyak supaya shark tidak mengamuk tiba-tiba.

Dalam trak, saya dipaksa duduk di hadapan dengan shark oleh kak tikah, saya pun paksa kak tikah ikut. Saya suruh semua kadet yang membantu tadi ikut sama. Kalau kak tikah tak pergi, saya pun tak pergi. Mau tak mau, kak tikah pun ikut di dalam trak. Hujan semakin lebat. Shark tertidur.

Perjalanan itu sungguh panjang dan menyeksakan saya. Bonggol jalan, pembinaan jalan, speed trap, lampu trafik semua merimaskan saya. Saya rasa sangat seram dan geram kerana rasa diperbodohkan seekor jin. Tengkuk saya kejang dan bulu roma saya berdiri. Di suatu bonggol jalan, shark terjaga. Dia nampak terkejut, dan memandang saya dan pemandu dengan curiga, serupa macam yang anda lihat dalam filem seram.

Saya pasti yang ini bukan shark. Dia mencium jari-jarinya dengan penuh hairan. Muka tak puas hati. Lalu di rapati saya yang duduk bersebelahannya dan shark halakan tangannya pada saya sambil bertanya, “siapa makan nasi ni?”

Kalau anda jadi saya, apa yang anda jawab? Saya kata dialah yang makan nasi tadi, saya yang bagi. Lembut dan mesra tona suara saya. Dia menggeleng.

“bukan. bukan saya yang makan nasi, ” katanya sambil mencium jarinya lagi. Dia menghulurkan jarinya ke hidung saya supaya di cium. Tolonglah. Saya sudah menindih tingkap. Saya bertanya dengan senyuman yang menguntum, habis tu siapa yang makan nasi? Shark ketawa kecil. “Adalah..”, jawabnya. Dia ketawa dan menyanyi-nyanyi sebelum tidur semula.

Saya rasa macam hendak melompat dari trak. Tiba-tiba shark bangun dan berkata. “oh, ya. Terima kasih bagi makan, hahaha”

Saya harap saya pengsan saja waktu itu. Cukuplah, cukuplah. Perjalanan itu agak jauh, menyebabkan shark terjaga lagi. Sebelah badan saya rasa sangat seram. Shark kebingungan, dan tanya saya kemana kami hendak pergi. Saya pun ajaklah dia berbual-bual tentang aktiviti malam tadi, kalau-kalau saya dapat mengesan bila dia mula dirasuk. Dia memang tidak ingat dia di rasuk, dan dapat pula bercerita tentang aktiviti malam tadi.
Shark ada berpesan tentang sesuatu yang mencurigakan.

“Puan, pesan kat budak-budak, jangan kencing kat dalam hutan tu, diorang marah,” kata Shark. Saya bertanya hutan yang mana? Siapa yang marah? Katanya lorong ke hutan berdekatan lorong yang menuju ke sungai. Saya teringat petang tadi saya tersesat masuk sebuah lorong semasa menuju ke sungai. Saya tak sedar yang saya tersalah lorong, kerana zaman kadet dahulu kami sudah biasa dengan tempat ini. Bila saya dapati makin jauh ke hutan, saya berpatah balik dan terhidu bau hancing dari sebuah rimbunan. Saya geleng kepala, apalah budak-budak universiti ni tak ada kesedaran sivik. Rupanya ada rahsia di sebalik kejadian.

Sampai di markas tek, sekali lagi saya dipaksa menemani shark. Kak tikah marah bila saya kata itu bukan shark sepenuhnya dan saya tak mau ditinggalkan sendirian. Aduh, kena tinggal lagi. Shark pula tak mau tidur sepanjang malam. Dia merayau-rayau dalam bilik sambil membaca papan-papan notis. Solat saya hilang tumpuan, tak tahulah apa yang saya baca kerana ketakutan. Malam itu, kami habiskan masa dengan berbual-bual sampai ke pagi.

Moral of the story, syaitan akan mengambil kesempatan terutama sekali pada orang yang lemah. Itu sebab kita mesti jadi muslim yang kuat. Dalam hal-hal sihir dan alam ghaib, eloklah kita bersedia dengan pendinding diri. Amalkan ayat-ayat Al-Quran. Antara amalan menangkis bisikan syaitan ialah mengamalkan ayat Kursi. Amalan yang baik untuk menangkis sihir dan ilmu hitam adalah mengamalkan ayat 3 Kul, iaitu 3x surah An-nas, 3x Surah Al-Ahad dan 3x surah Al-Falaq.

Selain itu, jaga kebersihan terutamanya yang berkaitan dengan najis dan darah. Tak kisahlah anda di tengah hutan, di tandas awam atau perhentian lebuh raya, amalkan kebersihan dengan sebaik-baiknya. Semoga kita dilindngi-Nya dari marabahaya dan godaan iblis.

2 comments:

roh said...

Blog topic yg menarik. Linkback sudah dilaksanakan.

Anonymous said...

huhu