TEMUBUAL BERSAMA USAHAWAN TANI

Berikut adalah ulasan seorang usahawan tempatan, Encik Mohammad bin Azoddin, pengasas Chengai Indah Enterprise dari Alor Setar, Kedah. Beliau memberi pendapatnya tentang semangat keusahawanan survival tinggi serta kualiti usahawan dari segi modal insan kelas pertama. Berikut adalah pandangan beliau:

RAHSIA MENJADI USAHAWAN SURVIVAL TINGGI DENGAN MODAL INSAN KELAS PERTAMA

Ini adalah intisari pengajian falsafah dan tasawuf dalam islam. Manusia perlu bersyukur dalam serba serbi kehidupan walaupun dalam serba kekurangan atau hidup susah tanpa meminta-minta. Perlu rasa tenang, bahagia, mencukupi apa yang ada (qana’ah), berani, tidak risau tanpa takut kepada sesiapa, rasa bebas merdeka, tidak busuk hati dan hasad dengki, tidak haloba, tidak malas, bakhil, boros dan sebagainya.

Manusia juga perlu percaya pada diri sendiri, suara hati dan naluri. Mesti suka menolong dan memberi. Bersekolah dan menuntut di universiti bukan untuk sekadar mencari ilmu pengetahuan tetapi untuk mencari bagaimana memenuhi keperluan hidup. Ilmu ada di mana-mana bahkan dalam diri sendiri seperti mana motivasi, bukan dari luar tetapi terpenting mencari bimbingan dari dalam diri iaitu taufik dan hidayah.

Proses pembelajaran itu sebenarnya adalah pembentukan pemikiran manusia untuk mendapatkan apa yang di kehendakinya tanpa melanggar hak-hak orang lain. Pengajaran islam melalui rukun iman dan ibadah tertentu bertujuan untuk mengawal pemikiran manusia supaya mengutamakan kerohanian itulah yang sebenarnya yang menjadikan manusia berani, tenang, bahagia, maju, kaya dan terkenal.

Tetapi penganut agama islam tidak mengkaji dan memahaminya seperti mana orang barat lakukan. Itulah yang di katakan bahawa ilmu itu umpama barangan mukmin yang hilang dan perlu di cari, di pungut semula jika menjumpainya di mana-mana. Orang alim itu adalah terdiri daripada orang-orang berilmu yang kenal tentang dirinya, tentang manusia, tentang makhluk-makhluk dan alam semesta untuk mengenal tuhannya. Siapa yang mengenal dirinya nescaya kenal akan tuhannya.

Dalam membaca buku-buku dari barat, hendaklah berhati-hati supaya kita tidak keliru menganggapnya berasal dari barat tetapi sebenarnya mereka mengambilnya dari tamadun islam di waktu kegemilangannya. Orang-orang islam pula menceduk dari barat secara membabi buta tanpa mengkajinya. Jika dikaji tentang Presiden US pertama, Abraham Lincoln dan Mahatma Gandhi dari India dan lain-lain, itupun mengamalkan pemikiran islam dalam kehidupan dan pemerintahan mereka sehingga menjadikan mereka antara manusia agung di dunia.

Saya banyak membaca buku-buku penulisan Carnegie, dan Napoleon Hill yang bertajuk You Can If You Think Can dan Think and Grow Rich dan lain-lain, telah mendapati kebenaran ajaran islam sebenarnya ada di dalamnya. Tetapi orang islam hari ini sibuk dengan perkara remeh temeh yang merugikan, yang merosakkan perpaduan umat islam itu sendiri.

Hati orang-orang islam terutamanya bangsa kita yang beragama islam cukup teruk sebab itu mereka berfikiran negatif, jumud, busuk hati, tidak dapat berdikari, tidak bergantung pada diri sendiri tetapi bergantung pada orang lain, kerajaan, benda lain dalam serba serbi khurafat, tahyul dan sebagainya. Kita boleh jadi kaya berasaskan tauhid kerana islam gemilang kerana iman yang menjadi peledak perubahan.

Dunia ini pentas lakonan, perlumbaan, persaingan, tekanan, paksaan, perhambaan, kepalsuan, tempat tipudaya syaitan dan manusia di mana kita amat memerlukan tempat berlindung, pertolongan, pergantungan iaitu tuhan dan diri sendiri.

Apa yang kita cari sekarang ini adalah produk dan barangan yang senang di jual, di perlukan ramai orang, yang sedia ada dan mudah dimulakan, harga murah, mampu dimiliki semua orang, unik, tidak banyak orang mencipta dan menjualnya, modal permulaan tidak banyak, kalau boleh tidak perlukan kebenaran, lesen atau permit, senang dipegang, dipindahkan dan di bawa ke mana-mana. Tidak memerlukan peralatan khas, seperti peti sejuk, pengangkutan tanpa risiko kerosakan atau tidak habis di jual.

Pengeluaran banyak mana pun boleh orang lakukan, tetapi untuk memasarkannya dan mempromosikannya itu yang bermasalah dan memerlukan modal, tenaga kerja terlatih serta sokongan kerajaan, pihak tertentu. Jangan terlalu mengharapkan sokongan agensi kerajaan termasuk bank-bank dan sebagainya. Kita harus mempunyai daya kerja keras dan usaha sendiri. Inilah hakikat yang akan bakal-bakal usahawan temui dan hadapi agar tidak terperanjat bila sudah menceburkan diri nanti. Selamat berjaya.

Profil usahawan:
En Mohammad b Azoddin adalah bekas pekerja Jabatan Pertanian. Beliau yang bersara awal dan mengasaskan Chengai Indah Enterprise pada tahun 1997, syarikat yang mengeluarkan produk organik berjenama BIOST yang berasaskan teknologi EM. Produk-produk syarikatnya adalah baja dan racun organik, pemulihara tanah, hormon akar, bokashi EM serta beliau juga mengadakan contract farming, membeli buah, membekalkan benih, baja dan tiang buah naga merah. En Azoddin memiliki 3 premis perniagaan iaitu di Alor Setar,Kedah, di Sri Kembangan dan Petaling Jaya, Selangor. Produknya boleh di dapati di semua cawangan Carrefour seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila layari www.biost2u.com.my atau hubungi 012 564 8531.

1 comment:

Zool Blogger said...

cukup berguna dan bermakna maklumat2 yang disampaikan di blog nie..harap dapat diomanfaatkan bersama..